Saturday, August 14, 2010

Tekong Bot Cekik Darah




JOHOR BAHRU: Tekong bot pancung yang menyeludup keluar pendatang tanpa izin warga Indonesia, mengambil kesempatan sepanjang Ramadan ini dengan menaikkan tambang sehingga RM1,000 satu kepala kerana tahu mereka sanggup membayarnya.

Risiko nyawa pula ditanggung pendatang terbabit kerana tekong hanya membawa mereka pulang dan tidak menjamin ‘insurans’.

Sumber Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 2 ketika mendedahkan perkara itu berkata, jumlah tambang perlu dibayar tidak sama, tetapi meningkat mendadak sepanjang Ramadan khasnya pada minggu keempat kerana ia minggu terakhir menjelang Aidilfitri.


“Suka atau tidak, pendatang perlu membayar kos tambang lebih tinggi selain tidak kisah bersesak dalam bot pancung semata-mata mahu pulang ke kampung.


“Ini ditambah dengan ketiadaan dokumen perjalanan sah atau pasport tamat tempoh, pendatang tiada pilihan selain menggunakan khidmat bot pancung terbabit,” katanya.


Pada masa sama, Pati juga sanggup berkumpul di lokasi pertemuan berjam-jam lamanya kerana jika mereka tiada di sana, bot akan terus berlalu pergi dan tidak menunggu bagi mengelak risiko dikesan pihak berkuasa.


Menurut sumber, berdasarkan pemantauan selain risikan, bot pancung kebiasaannya beroperasi antara jam 7 petang hingga 5 pagi.


“Waktu itu, cuaca gelap dan ia memudahkan mereka menyusur ke laluan tertentu yang sudah dikenal pasti.


“Tekong pula tidak menunggu lama di sesuatu lokasi, sebaliknya mengambil masa antara lima hingga 10 minit untuk mengambil penumpang sebelum memecut laju ke sempadan perairan negara mereka,” katanya.


Bagi mengelak penyeludupan keluar serta masuk pendatang, sumber mengatakan PGM Wilayah 2 mengetatkan lagi kawalan di sempadan perairan negara selain laluan yang sering digunakan tekong.


Menurut sumber, operasi mengetatkan kawalan itu dilakukan sejak beberapa minggu sebelum Ramadan dan berterusan hingga selepas Aidilfitri kerana ia waktu kemuncak pendatang menyeludup keluar dan masuk ke negara ini.


“Kita tidak boleh salahkan tekong atau pendatang terbabit 100 peratus kerana ada juga di kalangan rakyat tempatan bersekongkol memberi laluan mereka masuk ke sini.


“Setiap tempat pertemuan keluar dan masuk pendatang pasti dijaga tekong darat yang juga warga tempatan. Kami sudah mengenal pasti beberapa individu yang aktif menjalankan kegiatan itu dan menunggu masa sesuai untuk menahan mereka,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan terbabit diminta menghubungi PGM Wilayah 2 di talian 07-2381953.

Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my
2010/08/14

Sumber - myMetro Online

No comments:

Post a Comment